Thursday, October 03, 2013

Selamat Malam


“Kita berkenalan hanya dalam laman….,” telefonku berbunyi.
“Hello, Jack.”
“Hello Mad! Lu dekat mana? Apa maciam? Tarak keluar ini malam?,” kedengaran  suara sengau Mad acah-acah abang kawasan mengajak ku keluar lepak.
“Hey kawan, malam masih muda, pak imam baru angkat takbir, da nak ajak keluar? Lewat sikit la. Jumpa tempat biasa,” Balasku tenang.
Jack, antara teman rapatku. Dimana ada aku, Jack mesti ada.Begitu juga sebaliknya, kecuali masing-masing melepaskan hajat. Menjadi rutin hujung minggu kami bersama yang lain, keluar minum, karaoke, ronda-ronda pusing kota metropolitan Kuala Lumpur. Tipu besar kalau aku kata, hujung minggu aku berada dirumah, menonton cerekarama. Seingat aku zaman cerekerama ini, zaman sekolah rendah.Mak dengan ayah tak bagi keluar lewat malam takut jadi apa-apa dekat aku. Nak buat macam mana, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Kira jadi harapan keluarga la.
Sesungguhnya zaman remajaku indah. Cukup indah. 125 ZR merah hadiah hari jadiku yang ke-16 merubah segala-galanya. Bermodalkan senyuman dan 2-3 ayat-ayat cinta yang dipetik dari novel-novel cinta keluaran PTS, sudah berapa ramai gadis sunti menjadi pemboncengku. Cukup bulan mereka diboncengku. Dan tidak lupa, sudah berapa kolah air mata ibuku mengalir dek perangai nakalku ini. Tidak pernah ada sekelumit rasa kesian terhadap seorang insan yang digelar ibu itu. Mungkin ini yang di gelar keseronokan zaman remaja. Pernah sekali aku rasa menyesal dengan perbuatanku, tapi, rasa itu tak kekal lama. Tamat kem motivasi, rasa menyesal itu hilang bersama memori di brainwash ketika kem itu.
Namaku Ahmad bin Ismail. Tapi malam ini, namaku sudah bertukar. Ahmad bin Aminah. Tiada lagi jeans koyak, t-shirt bling-bling­ Armani Exchange yang dibeli di uptown. Yang tinggal hanya kain putih sepanjang 24 ela.

“Esok masih ada, kata mereka, tapi kita lupa….,” Iphone Aisyah berbunyi.

“Hello sayang, nanti malam esok jangan lupa kenduri tahlil adik I, Ahmad ya,” ujar Aisyah sayu.

Cahaya Angkasa

Cuba kau kira bintang di langit,
Sebanyak  itu dosaku terhadap mu.

Usah berddegil sayang,
Usah kau tunggu sayang,
Malam ini, awan mendung,
Tiada bintang.

Sudah tiba waktu, kau buang egomu,
Sudah tiba waktu, kau mengaku.

Maafkan aku,
Ini semua permintaan egomu.

Monday, August 26, 2013

Action.

Lirikanmu menggoda,
Senyumanmu manis,
Lenggokmu,seksis sekali,
Cukup buat aku tersenyum lebar.
Memikirkan indah dan bahagianya dunia ciptaan Dia.

"I love you"
Serak basah bisikanmu.

Ibarat dipanah petir,
Kejung,
Terpaku.
Ungkapan yang telah lama ku tunggu,
Akhirnya terbit dari bibir mongelmu.

Cut!

"Woi!, kenapa kau diam! Tak hafal skrip ke?"

Tuesday, August 06, 2013

Cita-cita Kita


Menjadi Tuhan bukan sebuah cita-cita,
Namun itu yang terjadi,
Kau, aku, kita, semua,
Menghukum belum sempat dia diadili.

Menjadi Malaikat maut itu bukan cita-cita,
Namun itu yang berlaku,
Rakus kau menarik nyawa,
Demi wang penuh saku.

Menjadi agamawan itu satu cita,
Segelintir; bukan semua,
Namun agamawan jadian,
Bersepah berkeliaran,
Cukup sekadar menuntut di madrasah Google.

Pengkritik itu ada nilainya,
Perhatiannya,pengamatannya,
Kritikan dan idea dilontarkan sejujurnya,
Apa ada pada kita?

Pengkritik bernilai atau tin kosong yang bersuara?

Permainan dendam.


Ujian,
Alpa,
Ungkapan yang sesuai.
Gagal; tak pernah terfikir dibenak sosok yang angkuh.

Berat kalian memandangku,
Andai kau mampu berdiri ditempatku,
Tabik hormat ku angkat padamu,
Berdada bidang bukan penentu.

Leka,
Hanyut,
Lemas dalam permainan gelora jiwa,
Kecewa pengakhirannya.

Kalau kau tanya apa kehendakku,
Aku tak perlukan peluang kedua,
Pintaku satu,
Hentikan permainan merobek pintu hati para lelakimu.

Andai dendam punca,
Kau lupakan sahaja.
Kelak kau terkena.
Karma.