Thursday, December 22, 2016

Dia Antara Dua

Hilang dan sayang.
Kawan dan teman.
Jujur dan dusta.

Sampai bila hati kecil ini mampu bertahan?

Wednesday, December 07, 2016

Hilang

Egois dua jiwa,
Menengakkan suatu cerita,
Berbeza alasan dan perihal,
Egois dua jiwa.

Egois dua jiwa,
Menolak idea bersama,
Tolakan tanpa bual bicara,
Egois dua jiwa.

Egois dua jiwa,
Melarat tanpa khabar berita,
Rajuk membawa duka,
Egois untuk mendengar alasannya.

Apakah ini titik bermula,
Perakhiran hubungan yang dijalin bersama?
Hilang rasa cinta,
Buat temannya.

Tuesday, December 06, 2016

Rasa


Andai ia benar,
Kenapa harus menipu diri,
Takut jatuh hati,
Dan takut disakiti?

Sunday, November 27, 2016

Hadiah Dari Dia

Datang tanpa bual bicara,
Janggal pada awalnya,
Jengkel saat pertemuan pertama,
Sekejap saja untuk mesra.

Dia, dihantar Tuhan,
Menemaniku disaat suram,
Tuhan mendengar doa insan,
Yang kecundang di medan perang.

Datang sebagai kawan,
Kenal sebagai rakan,
Akrab ibarat saudara,
Dengan harapan, kekal selamanya.

Hari demi hari,
Banyak berkongsi rasa,
Banyak berkongsi cerita,
Dia dihantar ketika aku sendiri.

Buat Tuhan,
Kau jagalah dia,
Dia yang menjadi pengubat luka,
Menjadi teman ketika duka,
Moga persahabatan ini kekal selamanya.


Saturday, September 03, 2016

Nyanyian Sendiri

Sebuah lagu,
Dikarang berdua,
Ditulis bersama,
Dirakam sendiri.

Sebuah lagu,
Kisah suka,
Saat berdua,
Kesudahanya duka.

Sebuah lagu,
Bermulanya indah,
Klimaksnya bahagia,
Penghujungnya ....

Sebuah lagu,
Tergantung perjalanannya,
Ditinggal berharap,
Luka sendiri.

Lagu indah, berakhir duka,
Bukan dicita, namun itu kisahnya,
Lara diberi harapan,
Berakhir sendirian.

Kisah lalu berulang,
Gara-gara harapan,
Tinggi menjulang,
Jatuh berderai, luka dalam.




Thursday, September 01, 2016

Memerdekakan Diri

Detik-detik waktu,
Mengenal erti sebuah kemerdekaan,
Dalam banyak perihal,
Kita telahpun bebas,
Bebas mendefinisikan kemerdekaan itu,
Bebas berfikir di luar kotak doktrin.

Bukankah bebas itu sebuah kemerdekaan?

Wednesday, August 31, 2016

Sebuah Pembebasan

Pipit dalam sangkar,
Kelisa dalam kolam,
Tidak bebas terbang,
Tidak bebas berenang.

Pipit ingin terbang,
Bebas di awan,
Kelisa ingin berenang,
Bebas di lautan.

Masing-masing punya keinginan,
Bergerak bebas tanpa halangan,
Bebas sebebas-bebasnya,
Menjalani kehidupan tanpa aral.

Dipenjara kata politikus,
Digari rapi, tanpa belas,
Masih kita mencari kebebasan,
Dalam menempuh hari mendatang.

Kita, pipit dan kelisa,
Sama sahaja,
Menginginkan sebuah pembebasan,
Menempuh hari-hari melawan tirani.

Monday, July 04, 2016

Narsistik Agung

Dalam menjadi manusia berguna,
Kita sering kali lupa dan alpa,
Bahawasanya kita semua,
Menjalani kehidupan secara bersama.

Adam dan hawa,
Bermula sebuah cerita,
Kehidupan manusia,
Peradaban agung bermula.

Berabad lama, 
Berkurun berlalu,
Sistem kehidupan bermula,
Meninggalkan sikap kau,kau, aku, aku.

Siapa Adam tanpa Hawa,
Siapa kita tanpa mereka,
Bertanggungjawab di atas segala perihal,
Memakmurkan dunia yang sarat dengan bermacam hal.

Ternyata kita lupa,
Hidup tetangga tanpa kasta,
Dalam memakmurkan peradaban manusia,
Kecil sebutannya, besar kesannya. 

Pokok pangkalnya, 
Kita.
Kita.
Kita.
Egois.

Dalam semua perihal.


Monday, June 20, 2016

Buat Dia

Kalimah agung pertama kudengar,
Memanjat syukur buat Yang Maha Esa,
Datang dari bibirnya,
Tepat ke kiri telinga.

Tak tergambar dengan kata,
Tak ternilai dengan intan permata,
Keringat dan jasa,
Seorang hamba bergelar bapa.

Tetes keringatmu,
Basah menyelimut bajumu,
Dalam erti tanggungjawab,
Membesarkan zuriat.

Ampun maaf kupinta,
Segala salah dan dosa,
Tiada apa mampu kutitipkan,
Selain doa kesejahteraan kau disana.

Tuhan lebih mendahului dia,
Dalam aku masih bodoh mengenal dunia,
Liar menjadi manusia,
Setahun jagung tanpa seorang bergelar bapa.

Sikap dingin dan tenangnya,
Buat aku terasa pemergiannya,
Bertahun berlalu,
Seakan ia berlaku hanya beberapa minggu yang lalu.

Bertahun berlalu, 
aku membesar tanpa mu,
Tiada dia yang bergelar bapa,
Menjadi hero semua manusia.

Hanya doa mampu ku pohon,
Agar kau tenang disana.


Friday, June 10, 2016

Sebelah Jiwa

Sebelah jiwa

Sebelah jiwaku, ada bersamaku,
Sebelah jiwaku, bawah kawalanku,
Sebelah jiwaku, ada pada kamu,
Sebelah jiwaku, dibawa bersamamu.

Tanpa sedar, kau berlalu,
Membawa jiwaku bersamamu,
Pergi tanpa menoleh kebelakang,
Meninggalkan jiwaku tempang.

Kuterbangkan jiwaku kepadamu,
Dengan harapan kau pegang erat,
Harapan yang tidak kesampaian,
Proses alami pemuda kesepian.

Diberi dahan untuk berpaut,
Diberi hati untuk disangkut,
Salah faham layanan ikhlas,
Pabila cinta tidak berbalas.

Dalam sepi aku menyanyi,
Lagu kebodohan alami,
Mengejar cinta yang tidak pasti,
Kelihatan bodoh sendiri.

Malam menanti siang,
Yang pasti akan datang,
Cintaku padamu tiada jawapan,
Kita hanya teman sepermainan.



Wednesday, June 01, 2016

Kaulah Satu

Raut wajah dan senyummu,
Buat aku senyum sendiri.
Lembut tutur katamu,
Buat aku setia disini.

Hati ini kuat mengata,
Kau satu dalam sejuta,
Biasa di mata mereka,
Istimewa buat yang dilamun cinta.

Menanti suatu tika,
Untuk aku luahkan segala,
Isi hati yang lama disimpan,
Enggan tampak melulu dan perasan.

Raut wajah dan senyummu,
Buat aku senyum sendiri.
Lembut tutur katamu,
Buat aku setia disini.

Berikan aku waktu,
Untuk aku perdengarkan,
Isi hati yang terbuku,
Saat kali pertama kita berpandangan.

Berikan aku masa,
Untuk aku sampaikan rasa,
Sayang dan cinta,
Sebelum kau berlalu tanpa berita.

Anda kau sudah menutup,
Pintu hatimu buatku,
Izinkan aku buktikan,
Rasa cinta padamu.



Hari-hari Esok

Dalam bulan ada minggu,
Dalam minggu ada hari,

Apa hari esok akan berubah andai hari ini kita masih pegun disini?

Friday, May 20, 2016

Bisik

Bisik hati, hanya kamu,
Teman hidup sepanjang zaman,
Diam aku berteluku,
Berfikir.

Disaat aku mencari,
Kau hadir,
Seakan-akan dihantar Tuhan,
Yang mendengar doa insanya yang naif.

Meski kau hadir,
Mampukah aku menyambut tanganmu,
Bersama, menuju ke syurga,
Syurga abadi.

Mampukah aku menjadi pebimbingmu?

Tuesday, May 17, 2016

Tentang Dia

Katak berdengkang,
Guruh berdentum,
Pesanan peringatan.

Andai tiada kepastian mengapa harapan diberi?

Sunday, May 15, 2016

Dekonstruksi Masa Depan

Dibalik daun pintu, 
Dalam gelap berteleku,
Kusut dan buntu,
Siapa kita di esok waktu.

Dekonstruksi masa depan,
Berbeza pendapat dan pemahaman,
Apa kita memilih untuk bersama,
Menjadi hamba kepada kerjaya.

Dalam sendiri itu ada persoalan,
Apa benar pilihanku ini?


Tuesday, April 05, 2016

Kita Semua Pejuang

Pesakit berjuang menentang penyakit, Rakyat tertindas berjuang menentang penindasan,
Penindas berjuang menyelamatkan kroni, Kroni berjuang menjaga periuk nasi,
Yang menang tidak semestinya di pihak yang benar, Yang kalah tidak semestinya bersalah.
Di mana rasional kita menilai sesuatu perjuangan? Adakah kita turut berjuang untuk menjadi hakim dan Tuhan?