Saturday, February 02, 2013

Baju Amin

Hari pertama persekolahan sangat membebankan. Amin, seperti pelajar-pelajar lain, memikul beg galas yang sarat dengan buku. Satu subjek ada dua buku. Satu hari ada enam subjek. 12  buah buku dipikul dalam beg galas. Cukup membuatkan otot trapeziusnya lenguh. Tidak pernah terbayang dalam benaknya untuk pergi ke mana-mana gym untuk workout. Cukup sekadar hadir ke sekolah 5 hari seminggu.

Amin, seorang pelajar normal, tiada cacat cela ataupun wayar otak putus dimana-mana, meminati kelas seni reka. Kelas pertama seni reka cukup mencabar, tugasan yang penuh dengan pantang larang dan peraturan. Sesungguhnya, Amin seorang yang mudah terpengaruh dengan hasutan kawan, sangat kurang menggemari tugasan itu.

Tiada dateline, datelinenya mengikut kehendak guru kelasnya.Bila-bila dia suka. Mereka perlu bersedia bila-bila masa. Tiada gred A mahupun gred B, apatah lagi gred C dan D. Lulus dan gagal. Amin dibekalkan sehelai baju putih dan senaskah kalam yang terkandung pantang larang dan peraturan. Tugasannya mudah, warna dan corakkan baju putih tersebut, berlandaskan kalam yang diberikan. Mudah.

Tidak semua menganggap ia suatu perkara yang mudah. Masing-masing punya ideologi dan kreativiti yang berbeza. Datang dari pelbagai naskah yang berlainan, bukan naskah asal yang diberikan oleh guru mereka. Raju, sahabat baik Amin, memberontak. Menganggap ia sebagai salah satu penyeksaan emosi. Ini tak boleh, itu tak boleh. Raju, menganggap corak dan rekaan itu perlulah bebas. Asalkan nampak cantik dimata mereka.

Satu demi satu rakan kelas Amin, berniat untuk memperluaskan lagi idea dan kreativiti mereka berdasarkan logik pemikiran asal mereka. Sedikit sebanyak telah mengabaikan kalam panduan yang diberikan. Namun tidak bagi Amin, beliau seorang yang patuh pada arahan.

Hari demi hari, baju Amin, telah dipenuhi dengan corak-corak yang indah. Pelbagai warna, Cantik! Dari corak abstrak ke flora dan fauna. Cantik. Hari berganti hari, Amin rasakan dia punya idea yang lebih realistik dan rasional. Realistik mengikut peredaran zaman yang semakin pesat. Lama-kelamaan kalam yang menjadi pegangan asal dalam mewarnai bajunya sudah ditinggalkan. Baginya, sudah tidak relevan dizaman serba moden.

Amin mengikuti jejak langkah Raju yang dari awalnya lagi sudah mempersoal tentang naskah yang terlalu banyak pantang larang itu. Bagi mereka, naskah itu merencatkan minda kekreatifan mereka. Tanpa bantuan naskah itu, Raju masih mampu menghasilkan corak baju yang cantik. Karya Amin dan Raju mendapat pujian dari banyak pihak, dan tak lupa kritikan dek kerna mereka mengabaikan naskah panduan yang diberikan.

Jumaat terakhir April lalu, pelajar 5 Dunia diminta menghantar tugasan mereka itu. Penantian mereka selama ini berakhir disini. Tiada lagi proses mencorak dan mewarna lagi. Beberapa hari kemudian, keputusan dikeluarkan. Tanpa diduga, Karya Amin dan Raju disenaraikan sebagai karya yang gagal. Makanya, terpinga-pingalah mereka berdua. Dari pengamatan rakan sekelas mereka, karya mereka antara yang mendapat pujian ramai. Namun keputusan adalah muktamad. Tiada siapa yang berani dan mampu mempersoal tentang keputusan yang dikeluarkan. Makanya, Amin dan Raju tergolong dalam kalangan mereka yang gagal dek kerna tidak mengikut panduan yang diberikan. Secantik manapun ia dimata rakan sekelas, bagi penilai Agung itu, karya itu tidak menepati apa yang dikehendaki.





Hidup ini ibarat proses mewarna baju itu. Dateline nya tiba disaat Izrail datang menjemput kita. Bersedia atau tidak serahkanlah segala corak ada. Tiada kompromi. 
Kita diberi naskah Al-Quran sebagai panduan, namun masih ada dalam kalangan kita, rasakan naskah itu tidak relevan. Menjadikan akal itu sebagai tunjang utama karya. Akhirnya, walau ia nampak cantik dimata manusia, Tidak semestinya cantik dimata Dia.
Sekadar renungan bersama.

No comments: